FashionValet

FashionValet

           

 FashionValet adalah merupakan sebuah perniagaan yang mengumpul sebahagian besar jenama-jenama terkenal mahupun di dalam atau di luar negara. FashionValet bukan sahaja menawarkan pakaian-pakaian mengikut fesyen terkini tetapi terdapat juga aksesori-aksesori lain yang menarik seperti kasut,beg tangan,tudung,produk kosmetik dan sebagainya. Apa yang menarik mengenai FashionValet ? Kita sebagai pengguna dapat mencari segala keperluan yang kita perlukan dengan hanya menggunakan satu laman web sahaja tanpa sebarang kesulitan. Ini kerana FashionValet telah memberikan satu kelainan di mana pelbagai jenis pakaian dan barangan aksesori lain mampu dimiliki mengikut keperluan masa dan keadaan. Percaya atau tidak, FashionValet telah memberi peluang kepada semua orang untuk merasa hasil rekaan-rekaan terkenal tanah air seperti Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat dan ramai lagi. 



         Menurut daripada pembacaan kami, FashionValet telah diasaskan oleh sepasang suami isteri yang tiada asas dalam bidang perniagaan pada mulanya. Ini kerana, Vivy Yusof merupakan lepasan kursus undang-undang dari London School of Economics, manakala, suaminya Fadzarudin Anuar pula lepasan lulusan kejuruteraan penerbangan angkasa.Namun, dengan kecekalan yang ada Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof telah berjaya mengecapi kejayaan dalam usia yang muda. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan seorang model, blogger, ikon fesyen, seorang ibu kepada dua orang anak dan antara perintis dalam dunia perniagaan dalam talian di Malaysia. Anak kelahiran Kajang, Selangor ini merupakan pengasas bersama FashionValet iaitu salah satu laman web dalam talian yang menawarkan pelbagai label popular di Asia.


        FashionValet yang bermula dengan 10 jenama sahaja kini telah berkembang sehingga hampir 400 jenama terkenal di Malaysia malah terdapat juga barangan yang diimport dari luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Satu kejayaan yang besar dan amat membanggakan apabila seorang anak Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan ahli-ahli bisnes yang lain di seluruh dunia. Berbalik pada laman web FashionValet, kita boleh lihat bagaimana setiap maklumat mampu dimiliki dengan hanya melayari laman web yang disediakan. Satu lagi yang menarik mengenai FashionValet ialah pelanggan boleh memulangkan semula barang yang dibeli dalam tempoh masa tertentu dengan syarat-syarat yang disediakan. Dengan satu kumpulan kerja yang besar, kita boleh lihat bahawa sistem yang digunakan di FashionValet sangat mudah untuk mereka yang berminat untuk membeli-belah secara atas talian. 


       Selain itu, FashionValet bukan sahaja menerima pelanggan dari Malaysia malah dari serata dunia seperti Indonesia, Brunei, United Kindom dan Australia. Ini mampu membuktikan kejayaan yang dimiliki oleh FashionValet walaupun pada hakikatnya kita boleh lihat kebanyakan harga di sini agak mahal namun pengasasnya telah menjanjikan kualiti produk yang baik dan kondusif. Ini boleh dikatakan sebagai satu faktor kejayaan FashionValet yang lebih menumpukan kepada kepuasan pelanggan kerana pelangganlah merupakan faktor utama kepada sebuah perniagaan. FashionValet juga mampu menjadi terapi kepada mereka-mereka yang sukakan fashion tetapi kekurangan masa untuk keluar membeli-belah. Jadi dengan adanya laman web FashionValet, semuanya mampu dilakukan dalam sekelip mata sahaja. 


     Akhir sekali, kami telah memilih FashionValet sebagai sebuah laman web yang menarik kerana FashionValet telah memberi satu inspirasi kepada kami untuk lebih berjaya dalam kehidupan. Tidak kira apa pun yang dilakukan, keikhlasan dan kesungguhan merupakan faktor penting yang mampu membuat setiap manusia mencapai kejayaan. 





Comments

Popular posts from this blog